Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tindakan parti pembangkang yang suka memburuk-burukkan kerajaan me­nunjukkan mereka kini terdesak untuk mendapatkan sokongan penduduk Tionghua di kawasan itu.

Menurut Anifah yang juga pe­nyandang Parlimen Kimanis, tindakan itu juga memperlihatkan sifat sebenar parti pembangkang yang suka menyebarkan fitnah.

“Saya tahu waktu pilihan raya, pembangkang baru datang tabur janji dan saya juga tahu janji-janji itu banyak tidak masuk akal.

“Justeru, jika ada pihak tidak berpuas hati dengan Barisan Na­sional (BN), jangan sampai tidak undi, datang berjumpa dan berbincang dengan saya, kita cuba cari penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan 300 masyarakat Tionghua dari sekitar perkampungan Ulu Kimanis, Sabah, semalam.

Yang turut hadir penyandang Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin.

Anifah berkata, semua pihak perlu memastikan keamanan negara dikekalkan dan ia hanya dapat dicapai jika BN mentadbir negara ini.

“Apa yang penting kita mesti hidup sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kita mesti bersatu. Apabila saya ke luar negara kadang-kadang menaiki penerbangan selama 30 jam tetapi saya tetap lakukan tugas ini supaya negara kita aman, ekonomi negara kuat, sekali gus akan menarik pelaburan ke negara kita,” katanya.

Anifah berkata, beliau ingin menjadikan Malaysia dihormati yang mana negara-negara lain akan meminta pandangan Malaysia untuk menyelesaikan masalah termasuk perang.