Keyakinan itu dilaungkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (gambar) berdasarkan kepada prestasi cemerlang UMNO yang menang banyak kerusi di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 

Beliau juga berpandangan bahawa ini merupakan masa terbaik untuk barisan kepemimpinan baharu yang lebih berwibawa dibawa masuk bagi memimpin UMNO di Sabah.

“Gandingan muka-muka baharu ini mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap UMNO di negeri itu.

“Pelantikan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah juga adalah satu langkah tepat. Situasi yang berlaku ketika ini memberi peluang kepada UMNO Sabah dipulihkan dengan semangat serta jiwa selain berfungsi dengan lebih sempurna,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, lima ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator UMNO mengumumkan keluar parti dengan alasan parti itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Shamsul Anuar menambah, alasan yang diberikan itu tidak relevan kerana kepemimpinan tertinggi telah menetapkan apa yang perlu dilakukan oleh pimpinan dan ahli parti di semua peringkat termasuk di Sabah.

Katanya, cadangan untuk memberi kuasa autonomi kepada UMNO Sabah seper­ti yang diinginkan kepemimpinan di negeri tersebut juga sedang dipersiapkan selain jawatankuasa khas bersama telah dibentuk dan berfungsi.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan persetujuan ketika melakukan perjumpaan dengan kepemimpinan UMNO Sabah di Kota Kinabalu sebelum ini.

“Kita percaya pemimpin yang meninggalkan UMNO ini mempunyai tujuan serta matlamat lain dan hanya menjadikan soal hala tuju parti sebagai alasan semata-mata. Sedangkan perkara ini boleh dibincangkan secara bersama sekiranya masih ada rasa sa­yang terhadap UMNO,” ujar beliau.