Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Marzuki telah memberi penjelasan mengenai keadaan sebenar yang berlaku.

"Saya sudah berbincang dan dia sudah menjelaskan hakikat sebenar dan perkara itu sudah memadai walaupun mungkin ada pihak lain yang tidak berpuas hati.

"Perkara ini sudah selesai dan saya setuju dengan prinsip tidak berbohong kerana Pakatan Harapan khususnya Bersatu memegang teguh pada integriti dan jujur," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Batalion 4, Pasukan Gerakan  Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.

Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar, sebelum ini menyerahkan nasibnya di ‘tangan’ Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas didakwa memalsukan status ijazahnya.

Dalam pada itu, menurut Muhyiddin, proses menamakan calon akan dilakukan sama ada hari ini atau esok.

"Sama ada calon kali ini ialah orang tempatan akan diumumkan pada 14 Februari depan," jelasnya. - UTUSAN ONLINE