ISMAIL SABRI YAAKOB

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selama ini kerajaan BN bertanggungjawab menubuhkan Mara bagi membangunkan kaum Melayu dan bumiputera berdasarkan asas Perlembagaan Negara berjaya mentransformasikan kaum itu di negara ini.

“Apa yang orang Me­layu dan bumiputera dapat pada masa ini adalah disebabkan kerajaan BN yang didominasikan oleh parti Melayu iaitu UMNO yang melakukan pelbagai pendekatan berlandaskan kepada Perkara 153 Perlembagaan Negara.

“Jangan ingat apa yang kita rasai pada hari ini akan terus diperoleh kalau kita tidak ada kuasa. Jangan ingat pangkah sahaja apa kita suka sebab salah pangkah kita akan mende­rita,” katanya dalam majlis pelancaran Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) Nano di Dataran Ke­rayong, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Norison Ramli dan Timbalan Ke­tua Pengarah Mara, Zulfikri Osman.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Mara diwujudkan khusus pada 1966 untuk membantu orang Melayu dan bumiputera dalam pendidikan serta perniagaan bagi memastikan golongan itu setanding dengan bangsa lain.

Katanya, Mara memainkan peranan besar apabila membelanjakan kira-kira RM7.9 bilion bagi membangunkan usahawan Me­layu dan menaja kira-kira 1.2 juta pelajar Melayu dan bumiputera sehingga kini.

Dalam pada itu, katanya, de­ngan konsep Malaysian Malaysia diperjuangkan DAP yang menge­tuai gabungan pembangkang PKR, masa hadapan Mara dilihat akan berkubur sekiranya pembangkang mengetuai kerajaan.

Katanya, hanya BN yang ditunjangi UMNO dapat memastikan perjuangan membangunkan kaum Melayu dan bumiputera di negara ini terus diperkasakan tanpa mengabaikan hak kaum-kaum lain.

Sementara itu, mengulas me­ngenai usaha dilakukan membantu kaum Melayu dan bumiputera melalui Mara, beliau berkata, ia tidak boleh dianggap rasis kerana berlandaskan kepada perlembagaan dan hak kaum lain tidak diabaikan.

Katanya, usaha memperkasakan usahawan Melayu dan bumiputera turut memberi manfaat lain melalui rantaian perniagaan yang turut melibatkan kaum lain.

“Kerajaan juga tidak pernah mengabaikan kaum lain melalui pelbagai pendekatan, inisiatif dan program melibatkan kaum berkenaan di negara ini,” katanya.