Menurut beliau, seandainya perpaduan ummah ini berterusan, beliau percaya UMNO kembali menjadi kerajaan dalam pilihan raya umum ke-15.

“Sudah menjadi tugas hakiki kita untuk menyatupadukan Melayu dan ummah di Malaysia dengan jaminan akan membela kemajmukan di negara ini.

“Ia dilaksanakan tanpa meminggirkan sesiapa pun baik dari segi bangsa, kaum dan agama kerana apa yang hendak kita capai dalam negara ini adalah aman damai dan sejahtera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan persidangan serentak Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Taiping di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin dan Ketua UMNO Taiping, Datuk Ahmad Shaimin Ahmad Shaffie.

Dr. Noraini berkata, ahli-ahli UMNO hendaklah tidak putus asa melakukan gerak kerja menjurus kepada pilihan raya, dalam usaha mengembalikan parti sebagai parti pemerintah.

"Lebih-lebih lagi kini Pakatan Harapan kucar-kacir, jadi ini peluang kepada kita di dalam UMNO.

"Tetapi semua ahli kena berganding bahu. Kukuhkan perpaduan ummah, jalin kerjasama mantap bersama Pas dan bersedia menghadapi pilihan raya," kata beliau. – UTUSAN ONLINE