Walau bagaimanapun, Manogaran percaya isu-isu berbangkit yang menimbulkan kontroversi telah diperjelaskan oleh kepemimpinan PH dan semua pihak perlu move on. Kepada wartawan Utusan Malaysia, ASLIZA MUSA, Manogaran berkongsi mengenai sambutan penduduk
dan keyakinannya untuk menang.

UTUSAN: Bagaimana sambutan orang ramai terhadap anda sepanjang kempen PRK ini?

MANOGARAN: Saya mene­rima sambutan mesra daripada pengundi di Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Tanah Rata dan Jelai. Walaupun kempen yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) fokus kepada perkauman tetapi apabila kita berjalan ke banyak tempat, semua kaum sambut kita

M. MANOGARAN
M. MANOGARAN 

dengan mesra.

Setakat seminggu berkempen, adakah anda telah bertemu pengundi di semua tempat?

Banyak tempat yang te­lah dilawati dan saya rasa lebih 50 peratus kawasan di kedua-dua DUN. Walau bagaimanapun kita kena kerja keras lagi untuk pergi ke banyak tempat lain dan bertemu pengundi seramai yang boleh.

Sejauh mana anda yakin boleh menang?

Sebagai calon, saya memang yakin dan berharap untuk menang. Saya sentiasa beri penekanan kepada diri dan jentera kempen untuk bekerja lebih kuat. Saya berharap semua pengundi termasuk pengundi yang bekerja di luar agar pulang ke Cameron Highlands kerana ini adalah PRK yang penting.

Beberapa pemimpin pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun membantu kempen calon BN, adakah anda berasa tergugat?

Itu adalah hak mereka untuk berkempen bagi calon mereka, begitu juga bagi pemimpin PH. Bagi saya bukan masalah sebaliknya perjalanan demokrasi iaitu pemimpin hadir untuk membantu calon mereka.

Bagaimana anda berhadapan dengan pelbagai isu sensitif sebelum dan semasa PRK Cameron Highlands berlangsung?

Kita telah memberi penjelasan dan pengundi pun telah terima penjelasan itu. Saya rasa kita kena move on, perkara tersebut telah berlalu dan apa yang penting kita move on.