Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang menyambut baik pengumuman berkenaan berkata, beliau yang mewakili kerajaan negeri sehubungan itu melahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata beliau, pengumuman itu juga menunjukkan bahawa Perdana Menteri peduli dan prihatin dengan pembangunan dan kemaslahatan rakyat negeri ini.

“Syukur kerana Perlis bakal mendapat satu lagi durian runtuh seperti yang telah dicadangkan oleh kerajaan negeri, iaitu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Perlis yang mempunyai pelbagai komponen pembangunan utama yang akan dilaksanakan secara berfasa.

“Projek ini melibatkan pembaikan tebing sungai dari Kangar ke Kuala Perlis; melebar dan mendalam beberapa bahagian tertentu sungai, membina jeti dan pelantar ikan di beberapa lokasi di sepanjang sungai untuk kemudahan nelayan, bot penumpang dan pelancong.

“Selain daripada itu, membersihkan air Sungai Perlis untuk diwujudkan habitat yang sesuai untuk pembiakan ikan dan hidupan sungai serta mewujudkan pasar terapung di Tok Kuning yang bakal memberikan peluang penduduk tempatan berniaga di dalam perahu dan di tebing sungai,” katanya.

Menurut Azlan lagi, pembangunan tersebut juga turut meliputi projek membaiki, menaik taraf dan membina denai larian dari Kangar sehingga ke Kuala Perlis untuk kemudahan beriadah dan mewujudkan peluang-peluang perniagaan kecil kepada penduduk tempatan.

Kata beliau, di situ juga akan dibangunkan aktiviti pelancongan yang bersesuaian dengan alam semula jadi, membina sebuah pintu air di lokasi bersesuaian di sungai dan menaik taraf landskap di tebing sungai dari Kangar ke Kuala Perlis.

Selain daripada itu katanya, memmbangunkan tebing Sungai Perlis terutama di bahagian muara di Kuala Perlis dengan projek-projek pembangunan yang bersifat komersial dan berkaitan dengan pelancongan dan perikanan serta menempatkan semula perkampungan dan rumah-rumah penduduk di sepanjang tebing Sungai Perlis.

“Komponen-komponen pembangunan Sungai Perlis ini bersifat jangka panjang dan akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun ini. Saya percaya projek bersaiz mega ini akan mengubah lanskap persekitaran Lembangan Sungai Perlis,” katanya. - UTUSAN ONLINE