Presiden Dewan Sosial Tanggungjawab Malaysia, Mohd. Rizmel Nazrin Abdul Malik, 27, berkata, Pakatan Harapan sebelum ini bersunguh-sungguh mahu memansuhkan PTPTN dan mengkritik BR1M namun kedua-duanya diteruskan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pakatan pembangkang itu.

“Mereka dalam keadaan menafikan bahawa apa yang telah dilakukan oleh kerajaan memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama terhadap golongan muda.

“Mereka sebenarnya hanya menjalankan tugas sebagai pembangkang. Secara realiti kita lihat kerajaan mengadakan inisatif ini untuk membantu rakyat,” kata Mohd. Rizmel Nazrin ketika diwawancara dalam program Sembang-Sembang Je yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online hari ini.

Manifesto Pakatan Harapan yang dilancarkan pada 8 Mac lalu antara lain mahu melanjutkan tempoh bayaran balik pinjaman PTPTN dan meneruskan pemberian BR1M.

Sementara itu, Mohd. Rizmel Nazrin yang juga Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap manifesto yang akan dilancarkan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih mesra kepada golongan muda.

Antaranya beliau memohon agar kerajaan memberi perhatian terhadap gaji minimum yang ditawarkan kepada lepasan institut pengajian tinggi awam dan swasta yang baharu bekerja.

“Jadikan RM3,500 sebagai gaji permulaan. Mungkin saya bersifat optimistik. Gaji bawah RM3,000 dan hidup di bandar dari sudut kajian dianggap sebagai miskin.

“Jika kerajaan melihat perkara ini secara mendalam ia merupakan satu bentuk pelaburan kerajaan kepada anak muda untuk melihat mereka berjaya pada masa akan datang,” jelas Mohd. Rizmel Nazrin. - UTUSAN ONLINE