Menurut beliau, penghapusan GST akan menyebabkan negara kelompongan hasil sebanyak RM20 bilion yang akan menyebabkan rakyat perlu menghadapi dua implikasi akibat tindakan Pakatan Harapan itu.

"Mereka tak sebut bagaimana kekurangan RM20 bilion itu nak ditutup mereka. Ada dua implikasi, satu mungkin kena potong pemberian kerajaan misalnya, mungkin kena potong BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) sebab BR1M nilai kosnya RM6.8 bilion setahun.

"Kalau potong BR1M sahaja tak cukup, mungkin kena potong pemberian khas kepada petani, pekebun kecil dan nelayan. Itu pun tidak cukup, mungkin kena potong bayaran khas kepada penjawat awam sebanyak RM1,500.

"Itu pun mungkin tak cukup, mungkin kena potong lagi bayaran persekolahan sebanyak RM100, mungkin amalan pemakanan khas akan dipotong," katanya ketika berucap dalam program Masyarakat Siam Kedah Bersama Perdana Menteri di Kampung Chanding, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din.

Najib memberitahu, jika tidak memotong bantuan tersebut mungkin Pakatan Harapan diketuai DAP akan menaikkan cukai pendapatan peribadi antara  empat hingga lima peratus.

Dalam pada itu, katanya, terdapat laporan daripada wakil bank dunia hari ini turut tidak yakin  dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan GST dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

"Ini 'World Bank' bertanya satu persoalan besar, kalau GST dihapuskan akan berlaku kekurangan atau kelompongan sebanyak RM20 bilion dalam akaun kerajaan. Apa yang tidak disebut dalam manifesto pembangkang, yang cuba mengaburi mata rakyat," ujarnya. - UTUSAN ONLINE