Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow berkata, perkara itu berbeza sepanjang 10 tahun ne­geri ini ditadbir kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan dikendali secara 'auto pilot'.

Malah, menurut beliau, DAP sepanjang dua penggal mentadbir negeri ini juga tidak mempunyai pelan atau strategi pemba­ngunan kukuh sebaliknya hanya meneruskan apa yang dirancang serta dilaksana kerajaan BN terdahulu.

Sehubungan itu, kata beliau, BN negeri menerusi manifesto PRU-14 tersebut akan meneruskan agenda pembangunan yang pernah dirancang di negeri ini selain memperbaiki segala kerosakan yang disebabkan DAP sejak memerintah negeri ini pada 2008.

“Paling utama manifesto kita adalah aku janji yang kita akan pastikan dapat dilaksanakan demi kebajikan rakyat, bukannya janji-janji kosong untuk meraih populariti atau sokongan rakyat semata-mata.

“BN juga mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat dan ini akan memastikan 51 janji kosong se­perti dilakukan DAP sebelum ini tidak berulang,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran manifesto BN negeri yang menggariskan enam teras utama serta 60 aku janji bertemakan Selamatkan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah barisan kepemimpinan parti komponen BN Pulau Pinang termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Sementara itu, Chang Yeow berkata, manifesto BN secara ke­seluruhannya memberi tumpuan kepada permasalahan utama dan kritikal yang dihadapi penduduk negeri ini yang berpunca daripada kegagalan pentadbiran DAP untuk diselesaikan.

Antaranya, kata beliau, penyelesaian masalah banjir dan penggondolan bukit yang akan dipastikan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun setengah.

Selain itu, kata beliau, BN juga berharap dapat menyelesaikan masalah kesukaran penduduk untuk memiliki kediaman sendiri ekoran keghairahan kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan projek mewah dan elit yang di luar kemampuan majoriti penduduk.

“Sehubungan itu, dengan mandat daripada rakyat pada PRU-14, BN akan membina seba­nyak 65,000 rumah mampu milik di negeri ini dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Tambah beliau, isu lain yang mahu diatasi BN menerusi manifesto itu adalah kesesakan lalu-lintas dalam tiga tahun selain memperkasa pembangunan ekonomi; kesejahteraan rakyat serta menggalakkan pelancongan dan warisan.

Selain itu, katanya, BN juga menawarkan penyelesaian kepada masalah alam sekitar yang semakin buruk di bawah pentadbiran DAP termasuk membatalkan projek-projek di lereng bukit, tambak laut dan memastikan le­bih banyak kawasan bukit dijadikan hutan simpan kekal.