Ketua Pegawai Komunikasi dan Sektor Ekosistem Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus berkata, perkembangan itu selari menerusi usahasama pihaknya dengan pelesen dan penyedia jalur lebar demi kemudahan rakyat.

“Bagi manifesto ‘kelajuan berganda, harga kurang separuh’ itu, kita sedang usahakan hal berkaitannya dan dijangkakan dilaksanakan menjelang 2019.

“Kita mungkin akan mulakan perkhidmatan ini di pekan dan bandar besar terlebih dahulu sebelum kembangkan ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyam­paian hadiah bagi pemenang Hackathon-NB IOT anjuran bersama Ericsson, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Axiata Business Services.

Yang turut hadir Presiden ­Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton dan Pro-Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin.

Menurut Mohd. Ali Hanafiah, meskipun di peringkat permulaan kemudahan itu bakal dilaksanakan di kawasan bandar, namun akan dikembangkan ke kawasan luar bandar secara berperingkat.

“Kita tidak pernah melupakan rakyat di luar bandar untuk menikmati kemudahan ini dan mereka turut menjadi keutamaan kami,” katanya.

Dalam pada itu Mohd. Ali Ha­nafiah berkata, rakyat akan menikmati harga jalur lebar bergantung kepada pakej kelajuan jalur lebar yang dilanggan pengguna.

“Kini terdapat pakej jalur lebar yang ditawarkan pada harga lebih rendah dan dijangka turun lagi seawal tahun depan.

“Soal berapa banyak penjimatan itu bergantung kepada pakej, apa yang boleh kita lihat sebagai contoh kini bagi 10 Megabit sesaat yang dahulunya ditawarkan pada RM179 hingga RM169 dan sekarang sudah turun kepada RM119 sehingga RM129.

“Kita jangkakan akan menurun lagi serta ada pakej yang sudah menurun sehingga separuh harga lama yang diperkenalkan sebelum ini seperti pakej 100 Megabit sesaat yang ditawarkan RM299 dulu kini dilanggan pada RM179 hingga RM189,” ujarnya.