Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto tersebut bersifat praktikal dari segi ekonomi berbanding manifesto Pakatan Harapan diketuai DAP yang bakal memberi kesan buruk kepada pendapatan kerajaan jika dilaksanakan.

“Manifesto pembangkang menutup sumber pendapatan kerajaan kerana mereka mahu memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menarik semula konsesi syarikat lebuh raya. Itu memerlukan duit dan menyebabkan banyak bebanan kepada kerajaan.

“Apa yang Datuk Seri Najib Tun Razak umumkan (manifesto BN) tidak membunuh ‘itik atau angsa’ yang mengeluarkan ‘telur emas’ itu. Sebaliknya, Manifesto BN adalah bagaimana untuk mengurus dan mengagihkan pendapatan negara.

“Jika diberi mandat, BN mampu melaksanakan manifesto itu dan tidak memudaratkan ekonomoni negara, malah akan banyak membawa faedah kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Penduduk Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Najib yang merupakan Pengerusi BN semalam melancarkan Manifesto BN bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku’ yang bersifat inklusif dengan menggariskan 14 teras dan 364 inisiatif untuk dilaksanakan.

Sementara itu, Mohamad berkata, BN negeri akan melancarkan manifestonya dalam masa terdekat yang selari dengan manifesto dilancarkan BN Pusat.

Ujarnya, manifesto berkenaan akan menambah baik dasar sedia ada dengan menawarkan kesejahteraan kepada rakyat sebagai agenda utama. - UTUSAN ONLINE