Kata beliau, satu ketika dahulu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menubuhkan kempen anti saman ekor selain melaung-laungkan apabila Pakatan Harapan (PH) menang AES akan dimansuhkan.

“Hari ini, apabila menang bukan sahaja tidak hapus malah ditambah lagi kamera dengan harga daripada RM170,000 menjadi RM200,000 pula. Mana ‘hero’ Pokok Sena ?,” katanya ketika berceramah dalam himpunan ummah kawasan Jerai di sini, malam tadi.

Kata beliau lagi, AES yang disifatkan zalim kini dikatakan menepati maqasid syariah oleh salah seorang pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah).

Malah katanya, sesama pemimpin Amanah juga dilihat bertelagah dalam soal tersebut.

“Kalau Pas guna kaedah agama dalam sesuatu isu dahulu dikatakan menunggang agama. Hari ini, dalam isu AES yang menepati maqasid syariah itu pula dikatakan apa, tunggang apa pula ini,” katanya.

Kata Idris, sekurang-kurangnya saman AES di zaman kerajaan terdahulu boleh dikemukakan rayuan, sekarang kompaun RM300 dan sama sekali tidak diberikan diskaun.

“Menteri pula jawab tidak kisah (kalau orang nak marah dalam isu ini).... Tidak mengapa rakyat sedang melihat,” katanya.

Baru-baru ini, Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd. Yunus berkata, pemasangan AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya menepati maqasid syariah dalam Islam.

Bagaimanapun, pandangan Hasanuddin itu dipertikai oleh ramai pihak yang menyifatkannya menggunakan pendekatan agama untuk menghalalkan pemasangan AES oleh kerajaan PH. - UTUSAN ONLINE