Biar pun DAP dan sekutunya dalam Pakatan Harapan setiap masa memomokkan Malaysia negara gagal dan bakal bankrap kerana kelemahan pentadbiran pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN), namun pengurusan kanan Bank Dunia terus berbeza pandangan dengan pembangkang negara ini.

Dalam sebuah video yang dimuat naik di media sosial, Pengarah Eksekutif Kumpulan Bank Dunia, Otaviano Canuto berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang berjaya mencapai pertumbuhan mengagumkan menerusi kepelbagaian kewangan.

MAHATHIR MOHAMAD
MAHATHIR MOHAMAD

Katanya, ini meletakkan Malaysia pada landasan menuju status negara berpendapatan tinggi sehinggakan Bank Dunia merasakan perkara itu perlu dipelajari negara lain.

“Malaysia kini merupakan negara ekonomi berpendapatan sederhana tinggi yang sedang meningkat ke arah status negara berpendapatan tinggi.

“Malaysia telah berjaya mencapai pertumbuhan mengagumkan menerusi kepelbagaian kewangan dan sudah mencapai banyak perkara yang boleh diajar kepada dunia,” katanya dalam video sempena ulang tahun kedua Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Bank Dunia di Malaysia.

Tambah Canuto, hab tersebut telah menjadi contoh terbaik bagaimana Bank Dunia dan negara yang sedang meningkat naik dari segi ekonomi seperti Malaysia boleh bekerjasama lebih erat.

“Dalam dua tahun, hab ini telah mengadakan lebih 50 aktiviti dihadiri peserta dari lebih 40 buah negara selain menjadi inkubator penyelidikan di mana sukuk hijau pertama dunia telah dilancarkan sekali gus menjadi pengubah landskap pembangunan kewangan,” ujar beliau.

Lim Kit Siang
LIM KIT SIANG

Pengiktirafan terbaharu ini jelas menunjukkan Pakatan Harapan semakin ‘lemas’ dengan fakta apatah lagi Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengunjurkan kedudukan ekonomi negara untuk kekal berkembang antara 5.5 hingga enam peratus tahun ini, lebih tinggi daripada jangkaan awal kebanyakan penganalisis dan kerajaan. - UTUSAN ONLINE