Pentingnya di sini dari segi memiliki satu kejayaan untuk dijadikan turning point atau titik kebangkitan selepas kemaraan Pakatan Harapan (PH) seakan sukar dihentikan rentetan kemenangan bersejarah gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ini seperti mana British beroleh titik kebangkitan menerusi kejayaan operasi di Dunkirk untuk berdepan kuasa Jerman yang ketika itu terlalu gagah di Eropah hingga satu demi satu tumbang.

Namun perjalanan dalam tempoh krisis tidak mudah. Britain sendiri cemas dengan langkah mereka sama ada ‘bekerjasama’ tetapi menjadi boneka atau terus melawan dengan penuh maruah. Filem hebat, The Darkest Hour menggambarkan detik itu termasuk penentangan dalaman terhadap keputusan Winston Churchill.

Kejayaan Operasi Dynamo membawa pulang 300,000 tentera British dari Dunkirk menyeberang Selat Inggeris ke kubu mereka dianggap ramai pengkaji sejarah kepada titik kebangkitan buat British dalam Perang Dunia Kedua.

Kejayaan itu bukan seperti kemenangan konvensional iaitu mengurangkan musuh, tetapi satu kejayaan menghalang dari musuh mara dan mengelak daripada apa yang dimiliki terus terkorban.

Justeru, begitu juga BN. Cameron Highlands tidak mengurangkan kerusi lawan sebaliknya hanya mempertahankan apa yang dimiliki daripada satu demi satu hilang kepada lawan akibat PRU-14 dan ‘lompat parti’.

Kemenangan di Cameron Highlands harus diterjemahkan sebagai kejayaan BN untuk bertahan bagi membolehkan langkah disusun kemas bersama pembangkang yang lain dalam berdepan peperangan.

Lebih besar daripada referundum rakyat kepada kerajaan PH, sebaliknya kejayaan PRK Cameron Highlands harus dijadikan satu titik bangkit andai BN mahu kembali menawan Putrajaya pada PRU-15.

Selepas ini, PRK DUN Semenyih. Demografi berbeza, lawan pula dari Bersatu. Pastinya lebih sukar tetapi itulah lumrah pertempuran, tetapi BN tiada pilihan jika mahu kembali berkuasa. Sejarah akan menentukan BN peroleh titik kebangkitan di Cameron Highlands atau PH terus gagah. - UTUSAN ONLINE