Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, kedua-dua parti itu mempunyai kelebihan masing-masing dan apabila bersatu akan mempunyai kekuatan luar biasa untuk memerintah negara iaitu lebih baik daripada Malaysia baharu yang dicanangkan PH.

Katanya, UMNO mempunyai pengalaman selama 60 tahun memerintah dan mereka tahu bagaimana untuk membina negara selain mempunyai ahli yang ramai.

“Pas pula mempunyai kekuatan tersendiri meskipun tidak mempunyai pengalaman memerintah negara, sebaliknya berpengalaman memimpin negeri seperti Kelantan dan Terengganu.

“Pas juga mempunyai kekuatan dalam membawa Islam selain mempunyai semangat dan akar umbi yang kuat dengan apabila ditekan oleh mana-mana pihak akan menjadi semakin kuat.

“Kalau kedua-dua kekuatan ini digabungkan, kita akan bangunkan Malaysia jauh lebih baik daripada Malaysia baharu yang dicanang-canangkan oleh PH,” katanya ketika berucap dalam ceramah Perpaduan Ummah di Markas Pas Sanglang, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Arau merangkap Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli.

Sementara itu, Mohd. Amar berkata, Pas menentang UMNO satu ketika dahulu adalah disebabkan kerana ingin memberi kesedaran kepada UMNO untuk menghayati tuntutan Islam sama ada di peringkat Pusat dan negeri.

“Malah, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga pernah berkata jika UMNO boleh terima Islam, mereka perintahlah sampai bila-bila, kita sedia terus menjadi pembangkang.

“Hari ini, kita hulur tangan kepada UMNO adalah untuk kepentingan Islam. Ini adalah saat paling baik untuk kedua-dua parti ini bermuhasabah mengenai kesilapan-kesilapan lalu,” katanya. - UTUSAN ONLINE