Beliau berkata, pengisian kepada slogan tersebut tidak jelas dan tiada siapa yang boleh memberi kupasan Lengkap mengenai apa yang 'baharu' selepas hampir setahun PH yang ditunjangi oleh empat parti, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) memerintah negara ini.

“SST (cukai jualan dan per­khidmatan) bukan baharu. Ada tak minum sesudu minyak sawit, saya yakin tidak ada seorang pun angkat tangan. Kalau yang pelik-pelik yang lain tentu sekali kereta terbang rupa-rupanya yang terbang ialah teknologi drone dan kita tengok dalam media sosial di Langkawi baru-baru baru ini macam bentuk kereta mainan kanak-kanak, itu saja yang di­sajikan kepada kita.

“Kalau nak dikata bab yang lain, banyak yang pelik. Tanam buluh ganti sawit. Jadi menteri sudah diketawakan oleh orang bahawa sijil palsu pun jadi menteri tetapi nak dapat BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) kena isi lima sijil,” katanya dalam majlis Santai Makan Tengah Hari Bersama Bossku di pejabat UMNO Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi MCA negeri, Chua Hock Kuan dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Najib yang dalam rangka lawatan sehari ke negeri ini mendapat sambutan hangat daripada rakyat bermula dengan sarapan pagi di sebuah kafe di­ikuti solat Jumaat di Masjid Muhammadi, makan tengah hari di pejabat UMNO negeri, santai bersama nelayan dan merasmikan Gegar Boksing Pantai Timur di Pantai Irama, Bachok dekat sini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerjasama UMNO dan Pas memberikan jaminan masa depan yang lebih cerah untuk umat Islam dan Melayu seterusnya melindungi hak-hak bukan Islam di negara ini.

“Saya datang ke Kelantan disambut oleh orang UMNO dan Pas. Hari ini, Setiausaha Agung Pas juga datang ke pejabat UMNO Kelantan.

“Waktu dulu semasa saya menjadi Perdana Menteri walaupun Pas memerintah Kelantan saya tambah peruntukan untuk Kelantan. Saya tak percaya saya patut mendera rakyat Kelantan kerana dia sokong Pas. Saya beri peruntukan untuk bela rakyat Kelantan dan biarlah kalau saya tidak dapat undi saya dapat saham akhirat.” katanya.