Perdana Menteri memberitahu, mana-mana kerajaan yang tidak mendengar pandangan dari pihak luar dan hanya mendengar dari kalangan anggota-anggota Kabinet semata-mata walaupun mereka terdiri daripada orang-orang hebat, nescaya kerajaan akan cenderung untuk membuat kesilapan.

"Adalah penting untuk kita mendengar banyak pihak. Kita boleh buat ini sejak awal lagi tetapi kita sangat sibuk.

"Dan sekarang kita rasa cukup masa untuk tubuh majlis ini dalam usaha mendapat maklum balas tentang apa yang berlaku dalam negara dan mendapat idea dari mereka tentang cara menyelesaikan masalah serta untuk bergerak ke hadapan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tokoh Wartawan negara, Datuk A. Kadir Jasin hari ini yang mendakwa tindakan Dr. Mahathir menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi semalam mempunyai makna yang tersirat.

Kadir berkata, penubuhan majlis itu secara langsung mengakui bahawa jentera yang sedia ada, khususnya Kabinet tidak memadai bagi menangani isu-isu mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat jelata.

Mengulas lanjut Dr. Mahathir berkata, ketika memegang jawatan Perdana Menteri keempat, beliau telah menubuhkan majlis yang hampir sama tetapi ia tidak ditubuhkan secara terus ketika di awal pentadbirannya.

Menurutnya, adalah agak lewat ia ditubuhkan dan Kabinet ketika itu memberi kerjasama penuh menjadikannya sebagai satu majlis yang berjaya dalam membangunkan negara.

Ditanya tentang keutamaan majlis berkenaan ketika ini, Dr. Mahathir berkata, majlis berkenaan menumpukan kepada hal-hal ekonomi kerana kerajaan ketika ini dibelenggu oleh tindakan kerajaan terdahulu.

"Kita dibelenggu dengan usaha untuk menyelesaikan pinjaman-pinjaman yang banyak jadi kita tidak dapat melihat masalah-masalah melibatkan pelabur-pelabur dan sebagainya.

"Jadi fokus kita untuk majlis ini adalah berhubung pembangunan ekonomi," katanya. - UTUSAN ONLINE