Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, ini bagi mengelak salah faham dan tafsiran yang pelbagai sehingga memeningkan kepala rakyat yang mengikuti perkembangan itu.

Malah, ujar beliau, kedua-dua pemimpin itu juga perlu membuat ketetapan rahsia mengenai tarikh tepat untuk proses penyerahan jawatan tanpa perlu mendedahkan kepada umum.

“Semua pihak harus meredakan keadaan ini dengan Majlis Presiden PH perlu membuat satu ketetapan rasmi supaya peralihan kuasa daripada Tun kepada Anwar berjalan dengan baik.

“Tetapi, ketetapan rahsia antara mereka berdua tidak boleh umum kepada awam bahawa pada sekian hari bulan saya akan berhenti kerana ini akan menjadikan masyarakat tidak peduli kepada Perdana Menteri semasa (sekarang),” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Omar di sini, hari ini.

Baru-baru ini, isu peralihan kuasa Perdana Menteri kembali menjadi panas setelah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan tiada garis masa tertentu yang dipersetujui, walaupun sering diuar-uarkan bahawa perkara itu akan berlangsung dalam tempoh dua tahun.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, semua pihak termasuk dalam kalangan kepemimpinan juga perlu kekal bertenang dan tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan imej PH.

“Saya percaya semua pihak khususnya kedua-dua pemimpin ini memahami keperluan untuk mewujudkan suasana tenang dalam pentadbiran negara bagi mengelak disalah tafsir.

“Kita mahu Perdana Menteri tumpu kepada pengurusan serta perjalanan kerajaan dengan lancar dan apabila sampai masanya peralihan kuasa akan berlaku,” katanya. - UTUSAN ONLINE