Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, surat pekeliling dan garis panduan telah dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah bertitah, mana-mana pengurusan masjid tidak ikut prosedur MAINJ dengan memanggil orang politik tanpa kebenaran kadi daerah, mereka akan dilucutkan jawatan.

“Kerajaan negeri akan membuat pemantauan lebih ketat berhubung perkara ini. Diharap garis panduan ini akan dapat mengelakkan perkara seperti ini berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang di Ibu pejabatnya di sini sebentar tadi.

Baru-baru ini tular beberapa kejadian melibatkan ahli politik berucap dalam surau atau masjid sehingga mengundang kritikan ramai pihak. - UTUSAN ONLINE