Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, sistem itu dilihat tidak adil dan perlu dihapuskan kerana jika ada yang disaman dengan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), ini bermakna pesalah terpaksa menerima hukuman sebanyak dua kali dan ia satu penganiayaan.

"Saya kira kerajaan harus beri pertimbangan sewajarnya agar tiada pengguna jalan raya menerima hukuman sebanyak dua kali iaitu demerit dan membayar kompaun.

"Demerit ini menyebabkan pesalah dipotong mata dan sampai satu peringkat dia akan digantung lesen dan bagi saya ia tidak wajar dan Kementerian Pengangkutan harus melihat kembali soal ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan cek faedah pengurusan mayat RM2,000 kepada keluarga kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, Allahyarham Norwahidah Abdul Hamid di Kampung Baru Tepi Laut Kuala Kerpan di sini, hari ini.

Norwahidah maut dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah teres di Taman Desa Vista , bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 28 Januari lepas.-Bernama