Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Daim itu hanya disebabkan kepentingan peribadi bukannya atas pertimbangan yang bertanggungjawab.

“Sewaktu Datuk Seri Najib Tun Razak baru menjadi Perdana Menteri beliau memuji Najib yang pada waktu itu beliau tidak ada masalah peribadi, semua kerajaan buat elok tetapi apabila ada masalah peribadi semua tidak elok.

“Cadangan GST sudah berlaku sewaktu beliau (Daim) Menteri Ke­wangan dan waktu itu beliau yang membuat kajian. Adakah beliau sudah lupa,” katanya da­lam sidang akhbar selepas meras­mikan Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Stesen (PRS) Batu Papan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Azizan Mohd. Sidin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Baru-baru ini, Daim yang juga seorang hartawan terkemuka mengaitkan kos dan bebanan sara hidup dengan pelaksanaan GST ketika berceramah di pentas PKR di Parlimen Pendang, Kedah.

Menurut Ismail Sabri, tidak timbul isu bebanan masyarakat khususnya di luar bandar terhadap pelaksanaan GST me­mandang­kan barang-barang ke­­perluan asas masyarakat di­kecua­likan daripada cukai itu.

Malah beliau berkata, sekiranya dasar cukai GST tidak baik adalah mustahil 167 buah negara dunia termasuk negara yang lebih maju masih meneruskan amalan percukaian itu.

“Lagipun kadar kita merupakan antara paling rendah dalam dunia walhal India yang baru melaksanakan GST dengan kadar maksimum 28 peratus, Singapura dengan kadar tujuh peratus dan di Indonesia pun lebih tinggi kadar daripada kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kutipan GST yang mencecah RM41 bilion memberikan manfaat kepada rakyat melalui pelbagai program bantuan termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).