Najib turut menuntut kalangan pemimpin berkenaan untuk membuat permohonan maaf terbuka kepada rakyat atas lakonan dan penipuan mereka selama ini.

“Soalnya, mereka telah menipu rakyat selama ini dan ada rakyat yang telah menyokong mereka dalam pilihan raya umum (PRU) kerana isu Lynas.

“Ini soal moral dan sepatutnya mereka yang menentang Lynas itu sama ada letak jawatan atau minta maaf secara terbuka kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini.

Isu Lynas antara perkara yang diperjuangkan oleh beberapa pemimpin PH seperti Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack sejak 10 tahun lalu, namun apabila menjadi kerajaan, mereka masih belum mampu membuat keputusan.

Najib berkata, pendirian itu jelas menunjukkan sikap sebenar kepemimpinan PH yang tidak beretika dan hanya tahu menipu rakyat.

Ketika ditanya mengenai pelawaan pertubuhan bukan kerajaan, Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) agar beliau hadir dalam himpunan yang akan diadakan dalam masa terdekat, beliau berkata, pendiriannya dalam isu tersebut bukan untuk meraih sokongan atau populariti.

“Saya ada pendirian. Saya tak main isu kerana mahu mendapatkan sokongan populariti, sebaliknya setiap yang saya nyatakan berdasarkan prinsip, kebenaran dan fakta,” katanya. - UTUSAN ONLINE