Bekas pengerusi PPBM negeri yang dibubar sementara, Ameir Hassan berkata, beliau percaya, melalui sokongan tersebut, DAP mampu membuat kejutan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi pada pilihan raya nanti.

Katanya, sememangnya satu ketika dahulu rakyat negeri ini menolak sepenuhnya DAP namun situasi pada hari ini telah berubah dengan masyarakat Melayu juga dilihat mula memberi sokongan kepada parti tersebut.

“Lagi pun, pengorbanan DAP tidak menggunakan logonya (roket) sebaliknya dengan semangat perpaduan di dalam Pakatan Harapan memilih lambang PKR untuk bertanding dalam pilihan raya ini telah menyentuh jiwa orang Melayu untuk menyokong DAP.

“Saya percaya DAP mampu membuat kejutan di DUN Titi Tinggi dalam pilihan raya nanti,” katanya dalam sidang akhbar sempena pengumuman calon PRU-14 PPBM Perlis, di sini hari ini.

Ameir yang juga Pengerusi gabungan pembangkang PKR negeri itu, akan bertanding di DUN Pauh selepas menjadi calon bebas di kerusi Indera Kayangan pada pilihan raya lalu.

Selain Pauh, PPBM turut akan meletakkan calon di empat lagi DUN iaitu Tambung Tulang; Guar Sanjj; Mata Ayer; Kayang selain dua Parlimen masing-masing di Arau dan Padang Besar.

Di Parlimen Arau, PPBM bakal mempertaruhkan Prof. Madya Datuk Dr. Abd. Rahman Daud yang pernah bertugas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

manakala di Padang Besar, diwakili bekas Ketua PPBM Bahagian itu, Izizam Ibrahim.

Lain-lain calon, Leftenan Kolonel Azhar Omar (DUN Mata Ayer); Abdul Hannan Khairy yang juga merupakan calon termuda berusia 24 tahun (Kayang); Maton Din (Tambung Tulang) dan Baridah Che Nayan, Guar Sanji.- UTUSAN ONLINE