Ahli-ahli Kelab Anak Wawasan Pekan (Kawan), Majlis Permuafakatan NGO Parlimen Pekan dan orang ramai khususnya ahli UMNO di Bahagian itu menunggu sejak pukul 4 petang ini untuk bertemu Najib yang pertama kali tampil di kawasan diwakili beliau selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kehadiran mereka bagi memberi semangat dan sokongan moral kepada Ahli Parlimen Pekan itu yang kini disiasat polis yang menyaksikan rampasan wang tunai dan barang mewah.

Ketika menunggu, lagu Warisan dan lagu rasmi UMNO dimainkan bagi membangkitkan semangat hadirin yang hadir.

Ahli-ahli Majlis Permuafakatan NGO Parlimen Pekan turut membawa kain rentang antaranya tertera tulisan 'Kami adalah benteng hadapan YB Datuk Seri Najib Tun Razak selagi nyawa dikandung badan' dan 'Kami warga anak-anak jati Pekan Pahang sesungguhnya mendukung penuh kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak Ahli Parlimen Pekan'.

Sebaik sahaja Najib tiba pada pukul 5 petang, mereka melaungkan 'Hidup Najib' dan mengiringi beliau memasuki Dewan Amphitheater untuk merasmikan mesyuarat cawangan-cawangan UMNO dalam Bahagian Pekan. - UTUSAN ONLINE