Jihek berkata, laporan berkenaan adalah ke atas Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr yang telah memutar belit ucapan Anifah itu yang dibuat di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Katanya, laporan itu juga adalah bagi menyangkal tindakan Loretto yang turut membuat laporan polis sebelum ini kononnya Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis telah menghina kaum Bajau.

"Loretto telah memutar belit mengenai ucapan itu dan saya sebagai suku kaum Bajau dari Semporna saya menghayati ucapan Anifah yang tidak pernah menyentuh sensitiviti mengenai perkauman di Sabah," katanya ketika kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Laporan polis itu dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada pukul 3 petang tadi.

Menurut Jihek, ketika pembangkang menuduh Anifah dengan pelbagai tuduhan, hakikatnya, pemimpin berkenaan adalah individu yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat Sabah di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berbanding Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika masih berada di dalam kerajaan.

"Bagi saya beliau adalah pemimpin yang tulen yang sebenar-benarnya memperjuangkan hak-hak Sabah dan begitu berani mengambil risiko berdasarkan kepada fakta tepat," katanya.

Dalam pada itu, aktivis politik, Abdul Jalil turut membuat laporan polis di IPD sama petang ini berhubung kenyataan menghasut yang dikeluarkan oleh Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony ketika memberi ucapan di Matunggong, Kudat baru-baru ini.

Menurut Abdul, laporan itu dibuat berikutan tindakan Peter yang mengaitkan keburukan sesuatu bangsa, agama dan kaum dengan politik yang boleh menimbulkan kebencian.

"Peter menggunakan sentimen rakyat Kadazan, Dusun dan Murut ini sebagai satu alasan untuk dia meningkatkan undi kaum itu kepada Warisan yang tidak sepatutnya dilakukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE