Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pelantikan mereka yang bukan daripada golongan itu bukan sahaja akan menyukarkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain tetapi dikhuatiri akan melambatkan projek bekalan air di negeri ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusuf bahawa akan melantik individu yang mempunyai latar belakang teknikal ke posisi tersebut.

“Namun, kita berpendapat lebih baik kekalkan pegawai tadbir KCS kerana banyak faktor iaitu antaranya berkenaan hubungan yang sedia terjalin antara mereka dengan agensi-agensi lain di negeri ini.

“Malah, SADA juga tidak boleh bergerak bersendirian kerana ada kaitan dengan banyak agensi lain bagi projek-projek akan datang.

“Kalau kita bawa seorang yang ‘alim’ dalam teknikal konon nak selesai masalah teknikal di SADA tetapi dia ada kekurangan dalam sudut hubungan, saya bimbang faktor itu menyebabkan kita terpaksa tunggu lebih lama untuk sesuatu projek,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang DUN ke-14, hari ini.

Jawatan CEO SADA kini dipangku Mohd. Suhaimi Mohd. Jusoh selepas penyandangnya, Datuk Abd. Ghani Zainuddin menamatkan perkhidmatannya pada 14 Mac lalu. - UTUSAN ONLINE