Penegasan itu dilakukan Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Muhammad Azwan Marukum yang turut mempersoalkan sama ada cadangan membawa kumpulan K-pop, BTS ke Malaysia oleh kementerian itu adalah satu keperluan ataupun hanya kehendak semata-mata.

Menurut Muhammad Azwan, cadangan Menterinya, Syed Saddiq Abdul Rahman itu dilihat tidak relevan memandangkan keadaan ekonomi semasa negara yang kian meruncing tanpa ada tanda-tanda penyelesaian segera diambil kerajaan.

“Usaha untuk memberi hiburan kepada belia walaupun ketika ini banyak masalah masih belum selesai adalah tidak relevan selain mendidik golongan anak muda ke arah perkara tidak bermanfaat dan melalaikan.

“Sepatutnya pihak kementerian mengadakan perancangan untuk membantu menzahirkan kepelbagaian bentuk peluang pekerjaan dan penjanaan ekonomi khusus kepada belia.

“Kementerian perlu berusaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia selain membantu meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi dalam negara. Inilah yang diperlukan belia sebenarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Azwan turut menggesa pihak kementerian untuk mengkaji semula usaha membawa penghibur dari luar negara bagi membuat persembahan dan fokus kepada pembangunan sahsiah belia dalam konteks ekonomi serta sukan.

Katanya, sekiranya alasan untuk menarik perhatian pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 digunakan pihak kementerian, mereka sepatutnya mengutamakan penghibur tanah air yang diketahui umum berbakat dan berwibawa. - UTUSAN ONLINE