Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk mengekal dan me­rampas kerusi, Pemuda BN perlu memberi tumpuan kepada penyokong yang terdiri dalam kala­ngan mereka yang mempunyai DNA (asid deoksiribonukleik) BN.

Katanya, bagi memperkuatkan lagi parti, Pemuda BN juga perlu memberikan tumpuan kepada semua rakan dalam komponen yang mempunyai DNA BN untuk terus kekal bersama.

“Untuk itu kita mulakan de­ngan mewujudkan keserasian dan silaturahim dalam kalangan kita. Jangan apabila sudah bubar Parlimen, baru mahu kenal kawan-kawan parti komponen lain.

“Jadikan hari ini sebagai waktu terbaik untuk tunjukkan keserasian yang baik dalam kalangan komponen BN dan kita harus bergerak sederap untuk bersama-sama menggerakkan jentera BN kerana pewujudan silaturrahim akan meyebabkan ikatan berlaku dalam kalangan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Anak Muda Nadi Barisan Nasio­nal (Aman BN) dan Job Fair UTC @ Aman BN Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun.

Kira-kira 15,000 pengunjung hadir dalam program anjuran Pemuda BN Perak dengan kerjasama Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) dan JobsMalaysia Perak itu yang bertujuan merapatkan hubungan pemimpin dengan golongan belia di negeri ini.

Dalam program itu, sebanyak 100 gerai pameran disediakan untuk pengunjung manakala lebih 5,000 jawatan kosong ditawarkan daripada pelbagai syarikat dan industri.

Menurut Ahmad Zahid, jika terdapat perbezaan dan permasalahan, ia bukan sahaja perlu diketepikan malah semua pihak mesti bersatu hati demi kemenangan BN.

Tambah beliau, dalam konteks Perak, Pemuda BN perlu mengambil ikhtibar atas kehila­ngan kuasa apabila negeri itu dikuasai pakatan pembangkang selama 11 bulan pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

“Kita ketepikan perbezaan kaum, agama bangsa dan etnik. Kalau ada perbezaan dan masalah dalam kalangan kita, perkara yang kecil-kecil itu hentikanlah. Inilah masa untuk ketepikan perbezaan itu demi BN dan demi kemenangan kita.

“Jika kita bergerak dan tidak menoleh ke belakang, apabila Perdana Menteri palukan gendang pilihan raya, Perak adalah hak milik kepunyaan BN,” katanya.