KHAIDIR BAHARUDDIN
CALON Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khaidir Baharuddin. - UTUSAN ONLINE

Bagi merealisasikan kesinambungan perjuangan sewajarnya perpaduan diperkukuhkan dari peringkat sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.

Sehubungan dengan itu golongan muda dari pelbagai latarbelakang perlu diberi peluang secara komprehensif untuk menggerakkan gerakerja parti bermula dari sekarang.

Maka seharusnya episod duka kegagalan UMNO sebagai tunjang Barisan Nasional ditinggalkan jauh dari dibicarakan secara terbuka.

Calon Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khaidir Baharuddin,30, berkata, episod duka lara sudah berakhir. Golongan muda masih ramai yang mencintai UMNO dan istiqamah menjunjung perjuangan titik bengit pemimpin-pemimpin terdahulu.

Kegagalan memperolehi majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) perlu dijadikan tugu peringatan.Kini sudah tiba masanya untuk penghijrahan berlaku di dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia khususnya.

Kata Khaidir, inilah masa untuk berhijrah daripada yang buruk kepada yang baik. Daripada yang baik kepada yang lebih baik.

Peri pentingnya pemimpin UMNO meningkatkan interaksi di antara mereka dengan anak muda dan mahasiswa khususnya.

UMNO harus kembali kepada perjuangan asal UMNO yang diwarisi daripada nenek moyang kita sejak 11 Mei 1946.

Kita harus pelihara tali persaudaraan sesama kita kerana hari ini yang tinggal dalam UMNO hanyalah mereka yang setia. Bukan setia kerana emas dan permata tetapi demi maruah bangsa dan perjuangan untuk memperkasa umat Melayu.

Beliau dengan bangga menggunakan tema Warisi Perjuangan UMNO & Kembali Dengan Kekuatan Nafas Baru bagi menarik sokongan ahli sayap Pemuda UMNO yang inginkan perubahan secara total. Pemimpin muda sebegini perlu diberi tempat kerana tanpa kesetiaan tiada makna sebuah perpaduan.

Anak muda dari UMNO Bahagian Kuala Langat ini bukan sahaja lantang dalam media sosial dan media perdana malahan kelibat beliau di beberapa program bual bicara sentiasa dinantikan.

Sebagai aktivis politik dan menjadi duta agensi Kerajaan Persekutuan di zaman BN beliau mempunyai pandangan tersendiri bagaimana untuk mengembalikan sokongan pengundi saluran satu dan dua kepada BN.

Namun semua ini dapat dilakukan jika beliau diberi laluan oleh ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara.

Akhir pesanan daripada jejaka berkarisma ini, BN sudah terbukti menepati janji namun tetap tidak dapat memenuhi pilihan hati rakyat. Inshaallah jika beliau terpilih bersama-sama lain-lain Exco Pemuda UMNO Malaysia prestasi BN selama 60 tahun akan menjadi persepsi terbaik untuk BN kembali mendominasi Pilihanraya Umum ke-15. - UTUSAN ONLINE