Setiap hantaran Najib dalam status laman sosial miliknya itu menjadi perhatian malah ada yang mengira jumlah like mengikut minit malah mereka juga turut meminta like dalam ruangan komen Ahli Parlimen Pekan tersebut.

Ada juga segelintir warganet mengecam status Najib dan di sini dapat dilihat bagaimana warganet mengecam balik menggunakan akaun asal untuk membalas segala tuduhan tersebut.

Keadaan itu bukan perkara baharu. Warganet di negara ini akan mengecam mana-mana pihak jika didapati menyentuh tentang kedau­latan negara, agama, pemimpin kesayangan mereka serta kehidupan masyarakat semasa.

Ini boleh dilihat apabila satu hantaran dipercayai dari laman sosial Israel mengecam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai ketegasan Malaysia tidak membenarkan atlet paralimpik mereka memasuki negara ini untuk menyertai kejohanan sukan di Sarawak, Julai ini.

Di sini boleh kita lihat bagaimana warganet negara ini mengecam tindakan laman sosial regim zionis itu sehingga terpaksa menutup atau menyekat IP dari Malaysia masuk ke ruangan komen mereka. Itu belum masuk lagi mana-mana laman sosial yang akan ‘diserang’ jika menyentuh perkara tertentu.

Tindakan warganet terbabit begitu berbeza dengan Red Bean Army (RBA) yang menggunakan akaun media sosial palsu sebagai serangan di alam siber terhadap pentadbiran kerajaan terdahulu.

Tanpa memikirkan kesannya, mereka memuat naik status selain menyerang ruangan komen demi memastikan usaha menjatuhkan kerajaan terdahulu berjaya.

Kali ini tugas tersebut diambil alih oleh warganet yang lebih dikenali sebagai ‘pembawang’. Mereka akan menyerang semula kumpulan RBA ini sehingga tidak mampu mematahkan hujah ‘pembawang’ terbabit.

Boleh dikatakan perang siber ini lebih menarik berbanding perang fizikal yang menggunakan senjata untuk menjatuhkan pihak musuh.

Namun di alam siber mereka hanya menggunakan papan kekunci serangan dilakukan oleh RBA sehingga digelar Persatuan Pembawang Online Malaysia (PPOM) bagi menangkis segala anasir jahat memasuki ruangan media sosial.