Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, yang melakar sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kali ke­dua pada 10 Mei lepas susulan kemenangan PH menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 berkata, selagi ada hayat, beliau akan te­rus cuba memperbetulkan ke­adaan dalam negara.

Beliau menegaskan, khidmatnya untuk negara bukan kerana duit, sebaliknya kerana sayang kepada negara.

“Ini negara kita, kita dilahir di sini, dibesar di sini, berkahwin di sini, dapat anak di sini dan anak kita dapat banyak manfaat daripada negara ini.

“Tak sayangkah kita kepada negara kita ini,” katanya di hadapan ribuan pengundi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands di Sungai Koyan, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan calon PH bagi PRK berkenaan, M. Manogaran.

Dr. Mahathir pertama kali dilantik menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003, setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Beliau turut mencipta sejarah apabila menjadi Perdana Menteri tertua di dunia dengan kembali ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya setelah 15 tahun meletakkan jawatan pada 2003.

Pada usia yang kini mencecah 93 tahun, Dr. Mahathir berkata, baginya, darjah kebesaran lain tidak lagi begitu membawa erti.

“Selagi boleh bercakap saya bercakap, dah 93 tahun dah, tak berapa banyak tinggal (masa), nak buat kerja sampai mati, bintang-bintang lain tak elok (bagi saya) yang elok ialah KSM, itu bintang yang saya minati,” katanya. – BERNAMA