Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu tepat pada masanya terutama membabitkan dua parti terbesar orang Melayu itu.

“Krisis politik berlaku lagi selepas PRU-14 maka PAS mengambil langkah menyatukan umat Islam antara PAs dan UMNO dan menggabungkan parti-parti yang tidak ekstrem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Pelancaran Pembinaan Kompleks Akademi Latihan Kepimpinan Pas Johor (Kalam) di Ayer Hitam dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Timbalannya, Dr. Mazri Yahya.

Abdul Hadi berkata, pihaknya sedar tidak ada kerajaan sempurna melainkan kerajaan tuhan kerana kerajaan pimpinan manusia ada kelemahannya.

“Kerajaan sekarang tidak kena dengan acuan demografi Malaysia dengan didominasi kaum yang ekstrem. Termasuk memberi janji yang mustahil nak ditunaikan, malam ini menang, esok harga minyak turun serta-merta.

“Orang Islam lupa ada ajaran agama dalam politik dan menganggap politik tak ada hubungan dengan agama. Al-Quran menetapkan politik sebagai salah satu peranan manusia,” katanya.

Katanya, manusia makhluk berakal yang hidup berkeluarga dan bermasyarakat sebagai khalifah demi menegakkan dan mentadbir dunia dengan Islam.

Bagi memandu dan membimbing kehidupan manusia, beliau berkata, dikurniakan seorang rasul yang membawa al-Quran termasuk untuk memberi petunjuk untuk kehidupan pada semua zaman termasuk akhir zaman.

“Antara agenda Nabi Muhammad SAW adalah agenda politik dengan menubuhkan sebuah negara untuk membentuk suatu amalan politik.

“Menyatukan umat dengan dimulakan dengan umat Islam kemudiannya disambung dengan penyatuan umat manusia tanpa mengira agama dan kaum,” ujarnya.

Beliau berkata, ahli-ahli falsafah barat gagal mewujudkan masyarakat madani sebaliknya orang Islam berjaya mewujudkannya dengan menjadikan Madinah sebagai contoh. - UTUSAN ONLINE