Namun, cukai ini terus menjadi modal politik pembangkang untuk memburukkan pentadbiran kerajaan dengan yang terbaharu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng cuba untuk 'mengindoktrinasi' pemikiran kanak-kanak dengan spekulasi negatif tentang GST dalam sebuah majlis perasmian pusat tuisyen di Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam berkata, perbuatan tersebut sangat mengecewakan kerana Setiausaha Agung DAP itu sanggup melibatkan kanak-kanak yang masih belum boleh berfikir secara matang untuk kempen anti-GST mereka.

"Perbuatan tersebut sangat tidak wajar. Kanak-kanak tidak tahu apa-apa tentang percukaian. Beliau sebagai pemimpin perlu lebih bertanggungjawab.

"Cukup-cukuplah mempolitikkan isu ini. Cukai ini dilaksanakan bukan secara semberono, kajian sahaja dibuat sehingga berdekad-dekad," luahnya dalam nada yang cukup kecewa ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Subromaniam turut menjelaskan hasrat pembangkang untuk kembali kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah satu langkah ke belakang memandangkan cukai tersebut tidak sesuai untuk digunakan dalam persekitaran ekonomi baharu dan ekonomi digital.

Mengulas isu yang sama, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, sifat SST yang tidak menyeluruh akan memberi kesan kepada pendapatan negara memandangkan hasil cukai yang dikutip kelak akan berkurang.

Ulasnya lagi, keadaan ini akan merugikan bukan sahaja kerajaan, malah rakyat secara keseluruhannya.

"Apabila pendapatan kerajaan berkurang, kerajaan hilang upaya untuk membangunkan negara dan menyediakan bantuan kepada rakyat," ujarnya. - UTUSAN ONLINE