Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, beliau melihat tindakan Mohamed Azmin itu seolah-olah sengaja mengeruhkan lagi keadaan di dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana seperti yang sedia maklum sebelum ini bahawa Anwar akan menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun.

RUSDI OMAR
RUSDI OMAR 

“Apabila Mohamed Azmin buat begitu, dia hanya fikir mengenai ‘survival’ (kelangsungan) atau kepentingan dirinya sendiri tanpa memikirkan kerosakan yang bakal berlaku di dalam kepemimpinan PH.

“Apabila Mohamed Azmin masih ada di dalam PKR ia akan mengeruhkan lagi keadaan. Pada masa ini sama ada Mohamed Azmin perlu keluar daripada parti atau dipecat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamed Azmin dalam satu kenyataan hari ini, mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian Pas dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah dilontarkannya supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera.

Tambah Rusdi yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamed Azmin juga seolah-olah tidak percaya kemampuan Anwar menjadi Perdana Menteri selain berkemungkinan beliau bimbang akan kehilangan jawatan di dalam Kabinet.

Katanya, Mohamed Azmin perlu berjiwa besar menerima pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri seperti mana perjanjian PH sebelum ini

“Jika Mohamed Azmin masih cuba mengeruhkan keadaan ia akan menyebabkan keadaan politik di negara tidak stabil dan huru-hara,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tindakan Mohamed Azmin yang menyokong pendirian Pas dan UMNO dalam soal jawatan Perdana Menteri itu juga menimbulkan syak-wasangka.- UTUSAN ONLINE