Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut merupakan satu pembaharuan dalam parti itu yang mana UMNO sentiasa terbuka dalam soal pertandingan jawatan parti.

“Dahulu pun semasa Datuk Seri Najib Tun Razak (Presiden) beliau tidak pernah menyekat sesiapa bertanding lawan dia tetapi baru-baru ini sudah ada keputusan bahawa timbalan presiden dan presiden tidak dipertandingkan tetapi Majlis Tertinggi merasakan biarlah ahli menentukan presiden dan timbalan presiden pada kali ini.

“Jadi kita serah kepada ahli dan kita anggap ini sebagai satu perubahan. Kalau mereka kata UMNO hendak berubah salah satunya adalah melalui pertandingan terbuka,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian berkelompok mesyuarat tahunan UMNO cawangan dan sayap-sayap bahagian Bera di Dewan UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Mohd. Fadil Osman; Naib Ketua UMNO bahagian, Datuk Norol Azali Sulaiman; Ketua Wanita UMNO bahagian, Datuk Sabariah Saidan; Ketua Pemuda UMNO bahagian, Zoolihsan Ahmad dan Ketua Puteri UMNO bahagian, Salmiah Abdul Rahman.

Menurut Ismail Sabri, perubahan perlu dilakukan berterusan dalam UMNO adalah bagi memastikan parti itu akan terus relevan pada masa akan datang.

Katanya, ahli-ahli akar umbi akan memainkan peranan da­lam mencorakkan UMNO melalui pelantikan pemimpin parti yang akan mendepani pelbagai cabaran dalam memperkasakan parti.

Ketika ditanya mengenai mana-mana jawatan tertinggi yang akan ditan­dinginya, Ismail Sabri berkata, beliau masih belum membuat apa-apa keputusan.

“Saya belum membuat keputusan, apa-apa hal saya hendak memberi tumpuan kepada Bera dahulu, selesaikan mesyuarat cawangan, kemudian baharu saya buat keputusan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kegagalan Barisan Nasional (BN) menerajui negara tidak akan memusnahkan perjua­ngan parti itu untuk membela orang Melayu, bumiputera dan Islam di negara ini.

Ujarnya, apa-apa sahaja kemungkinan ancaman kepada Islam, Melayu dan bumiputera akan terus dipertahankan oleh UMNO dengan semangat juang yang tinggi.