Masalah itu meliputi bencana banjir, pembangunan lereng bukit, perumahan dan kesesakan lalu-lintas yang dilihat semakin buruk dan serius dalam tempoh 10 tahun lalu.

Ketua Pemuda BN negeri, Hng Chee Wey berkata, BN negeri menjanjikan satu perubahan drastik sekiranya diberi peluang mentadbir negeri ini selepas PRU-14 dengan keutamaan diberikan kepada penyelesaian masalah utama tersebut.

Ujarnya, penduduk negeri ini tidak wajar berterusan dihimpit masalah yang disebabkan oleh polisi dan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang lebih mementingkan pemaju.

“Sebelum ini Kerajaan DAP Pulau Pinang berjanji kononnya mampu menyelesaikan masalah banjir hanya dalam tempoh beberapa bulan mereka memerintah.

“Tetapi lihatlah apa yang berlaku hari ini, masalah banjir bukan sahaja tidak selesai malah semakin buruk yang mana hanya dalam tempoh lima tahun sahaja lebih 100 kejadian banjir berlaku di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal, Mohd. Nor Hiesyam Ismail turut mengajak penduduk negeri ini bersama-sama BN menghentikan projek mewah dan elit di kawasan bukit yang diluluskan secara berleluasa oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Menurut beliau, mandat kepada BN pada PRU-14 akan memastikan masalah pembangunan di kawasan bukit yang berisiko itu dapat diatasi selepas BN berjanji menghentikan semua projek di kawasan tersebut.

“Paling utama BN akan memastikan segala projek pembangunan khususnya perumahan kelak adalah lebih memfokus kepada kehendak majoriti rakyat negeri ini.

“Bukannya kerana mahu mem­bela kepentingan pemaju yang membina rumah-rumah mewah di luar kemampuan rakyat,” katanya.