Calon BN bagi PRK DUN Semenyih, Zakaria Hanafi berkata, jentera Pas dilihat tetap berjalan malah mereka juga hadir dalam setiap program bersama jentera BN.

“Perbincangan bersama juga bergerak terus dan juga gerak kerja kita, itu tak terjejas. Namun mereka ada tugas lain dan kami tak ganggu, masing-masing ada tanggungjawab, gerak kerja dan setakat ini tiada percanggahan kerana kita dah putuskan. Komitmen mereka lebih 100 peratus bagi membantu, insya-Allah,” katanya.

Zakaria berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Moh Kacau Dodol Puteri di Kampung Kuala Pajam, di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa terdapat pengakuan secara bertulis kononnya Pas tidak akan menyokong UMNO dalam pertemuannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Putrajaya, kelmarin. - UTUSAN ONLINE