Datuk Seri Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim

Paling mencuri tumpuan adalah bagi jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, apabila penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim digantikan dengan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengambil alih jawatan timbalan pengerusi badan itu daripada Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang tidak dipilih mengekalkan jawatan tersebut.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Azizan Sulaiman pula dipilih menggantikan tempat Zahidi sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan mengumumkan barisan Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi lantikan penggal 2018-2021 termasuk senarai pengerusi, timbalan pengerusi serta setiausaha badan perhubungan di semua negeri.

Pertukaran bagi jawatan tertinggi UMNO negeri ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk menyatupadukan kembali kepemimpinan UMNO negeri ini selepas berlaku perpecahan dalaman yang serius apabila Shahidan dan Azlan gagal membentuk persefahaman sebelum ini.

Perubahan tersebut secara tidak langsung menyaksikan Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau kini hanya memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Arau.- UTUSAN ONLINE