Dalam satu kenyataan akhbar, Khairul Azwan menawarkan diri diri untuk sentiasa membantu kepimpinan Asyraf Wajdi dan Pemuda UMNO memasuki era pemulihan dan pembaharuan.

"Saya berharap Dr. Asyraf akan mempertimbangkan ‘reforms’ yang telah digariskan dalam manifesto saya tempoh hari iaitu meletakkan had umur Ketua Pemuda UMNO dan had umur keahlian Pemuda menjelang 2021.

"Memperkenalkan sistem pendaftaran ahli yang lebih mudah dan pantas, dan membenarkan ahli sayap mengundi secara terus calon-calon pimpinan sayap bagi memastikan politik wang dapat dihapuskan," kata Khairul Azwan yang juga bekas Naib Ketua Pemuda UMNO.

Sementara itu Khairul Azwan berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Senator di Dewan Negara dan akan bertugas sehingga tempoh tamat.

Tegasnya, beliau akan berusaha untuk menjadi contoh seorang Ahli Dewan Negara yang adil dan menyokong ketika mana sesuatu rang undang-undang itu baik dan menjadi kritikal ketika mana sesuatu rang undang-undang itu tidak memenangkan rakyat Malaysia.

"Tidak kira dari parti mana anda memihak, kini kita berjuang demi Malaysia yang lebih berjaya.

"Terima kasih Pemuda UMNO atas segala persahabatan dan bantuan selama ini. Setiap liku dan ranjau, ketawa dan duka, kenangan indah kita bersama tidak akan dilupakan selamanya," kata Khairul Azwan.-UTUSAN ONLINE