Beliau mengulas laporan berita mengenai kata-kata Dr. Mahathir semasa perhimpunan Bersatu semalam di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), kononnya ketua-ketua UMNO Cawangan bodoh dan tidak membenarkan orang lebih pandai menyertai parti.

“Harap Tun tak lupa program di MAEPS itu adalah mesyuarat agung Bersatu, bukan UMNO.

“Sesungguhnya, ingin saya tegaskan bahawa ketua-ketua UMNO cawangan tidak bodoh, malahan bijak menilai, sabar dan setia dalam perjuangan. Mesyuarat Perwakilan 191 UMNO Bahagian, sedang berlangsung dengan penuh bersemangat dan harmoni,” katanya dalam akaun Facebook beliau hari ini.

Dr. Mahathir membuat komen mengenai UMNO kerana mahu Bersatu mengambil iktibar sikap budaya pemimpin yang mementingkan diri sendiri dengan menyekat penyertaan anggota parti yang lebih cekap.

“Ketua cawangan tidak membenarkan orang yang lebih pandai daripadanya menyertai parti. Yang boleh menyertai cawangan itu adalah orang yang lebih bodoh. Tetapi mereka tidak boleh hidup selamanya, bila mati pemimpin cawangan itu penggantinya lebih bodoh. Yang bodoh ini tak bagi orang lain masuk (UMNO), cuma yang lebih bodoh saja boleh masuk. Lepas itu dia mati, yang bodoh juga akan ganti,” menurut kenyataan Dr. Mahathir yang dipetik daripada laporan portal Malaysiakini.

Ahmad Zahid turut membalas kritikan tersebut dengan menasihatkan Dr. Mahathir agar bermuhasabah dan berusaha berhenti daripada diperbodohkan oleh DAP dalam Pakatan Harapan (PH).-UTUSAN ONLINE