Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, sebarang perselisihan perlukan perbincangan secara matang antara kedua-dua pihak demi kebaikan semua khususnya rakyat.

“Sekiranya ada sebarang perselisihan atau salah faham, terutamanya yang melibatkan hubungan antara negeri Johor dan kerajaan Pusat, saya sarankan kita ketepikan sebarang perbezaan. Sebaliknya, eloklah berjumpa dan saling berbincang dengan matang demi kebaikan semua, khususnya rakyat.

“Negeri Johor baru sahaja menyempurnakan pelantikan Menteri Besar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Saya harap selepas ini tumpuan akan diberikan kepada ikhtiar membangun dan memajukan Johor,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) di sini sebentar tadi.

Justeru Sultan Johor mahu kepimpinan baru harus bersatu hati dan melipat gandakan usaha agar kebajikan serta kepentingan rakyat Johor ditambah baik dan sentiasa terbela.

“Pada masa yang sama, saya harap semua pihak dapat memberi kerjasama penuh agar pentadbiran dan pengurusan negeri Johor berjalan lancar,” titah Baginda lagi. - UTUSAN ONLINE