Menurutnya, pengalaman berada dalam Barisan Nasional (BN) sebelum ini memberi pengajaran berguna berikutan parti tempatan Sarawak tidak mempunyai kebebasan penuh untuk bercakap mengenai kepentingan negeri ini kerana terbelenggu dengan keputusan whip.

Justeru, ujarnya, dengan meletakkan kepentingan Sarawak sebagai keutamaan, kerajaan negeri meletakkan kedudukannya pada posisi neutral dan mesra kepada kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan.

“Persekitaran politik yang cukup berbeza menggamit semua pihak di negeri ini agar terus berjuang memajukan dan mempertahankan hak Sarawak,” katanya

dalam ucapan penggulungan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi negeri berkata, sejak menjadi Ketua Menteri 18 bulan lalu, beliau sudah mengumumkan peruntukan berjumlah RM5.1 bilion semasa mengadakan kunjungan ke segenap pelusuk Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap kerajaan Pusat dapat meningkatkan peruntukan kepada Sarawak, empat kali ganda selepas mengambil kira keluasan Sarawak yang mewakili 38 peratus daripada keluasan negara ini.

Katanya, kerajaan Pusat sebelum ini, memperuntukkan dana berdasarkan populasi negeri ini iaitu mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

Ujarnya, pemberian dana berdasarkan populasi menyebabkan banyak kawasan luar bandar dan pedalaman di Sarawak ketinggalan jauh daripada segi pembangunan prasarana asas.

“Tindakan kerajaan Pusat terdahulu adalah kesilapan besar. Jadi, kami berharap kerajaan Pusat sekarang tidak melakukan perkara sama dan memperbetulkan hubungan mereka dengan Sarawak,” katanya

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri bersedia memperuntukkan dana kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) jika kerajaan Pusat turut memberi dana kepada wakil rakyat, khususnya Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau turut mengumumkan kerajaan Sarawak memperuntukkan siling RM1 juta kepada setiap wakil rakyat GPS bagi melaksanakan Program Baik Pulih Rumah menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). - UTUSAN ONLINE