Dalam masa sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man juga menyifatkan hasrat Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk ‘menyerang’ kubu kuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu kesilapan besar apabila rakyat di situ jelas menolak sepenuhnya kedatangan rombongan tersebut.

Katanya, perkembangan itu sekali gus telah memberi tamparan hebat kepada Dr. Mahathir yang juga calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan.

“Satu kesilapan besar jika Dr. Mahathir melihat Pekan sebagai tempat untuk beliau serang. Semua sedia maklum Perdana Menteri menang dengan majoriti cukup besar di kawasan itu.

“Lagipun rakyat sudah tidak mahu mendengar isu-isu lama yang dikitar semula oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kayang di sini hari ini.

Semalam, program ceramah Pakatan Harapan diketuai DAP yang turut disertai Dr. Mahathir di Felda Chini 2, Pekan, Pahang berlangsung dalam keadaan hambar dengan dihadiri kira-kira 400 orang.

Ternyata ceramah yang diadakan di kawasan Parlimen diwakili Perdana Menteri itu gagal menarik kehadiran orang ramai khususnya peneroka Felda meskipun membariskan pemimpin tertinggi pakatan itu sebagai penceramah.

Selain Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ceramah tersebut disertai Presiden PAN, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan wakil DAP Pusat, Ronnie Liu.

Mengulas lanjut, Azlan berkata, rakyat sudah semakin matang untuk menilai sendiri segala tohmahan yang dilontarkan pembangkang terhadap kerajaan. - UTUSAN ONLINE