Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, para pemimpin dari kedua-dua parti juga turut menyertai semua majlis yang dianjurkan sehingga menjadikan hubungan mereka bertambah mesra.

Menurutnya, aura penyatuan umat Islam yang sudah lama diidam-idamkan tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik itu mengimarahkan lagi sambutan Ramadan dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan bersama-sama.

“Sesungguhnya terlalu besar hikmah di sebalik apa yang berlaku pada tanggal 9 Mei tahun lalu. Keinsafan, pengorbanan, ketabahan, keikhlasan dan keazaman yang tinggi telah meningkatkan jati diri rakyat terutama masyarakat Melayu Islam untuk bangkit.

“Apatah lagi melihat kedudukan Islam dan kepentingan orang Melayu yang semakin terancam, umat Islam bangkit bersama UMNO-BN dan PAS sebagai wadah perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Suraya, rakyat perlu menilai sendiri pentadbiran kerajaan setelah melihat keadaan huru-hara yang berlaku di depan mata mereka.

“Katanya ‘tidur sebantal, namun jelas mimpinya lain-lain”. Namun, apa yang UMNO-BN dan Pas dapat tawarkan hanyalah nafas baharu sebuah pentadbiran yang lebih baik berbanding dahulu dan sekarang,” katanya.

UMNO-Pas dilaporkan akan membentuk satu piagam kerjasama selepas Hari Raya Aidilfitri nanti bagi mewujudkan panduan jelas berkenaan hubungan kedua-dua buah parti. - UTUSAN ONLINE