Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keyakinan itu didorong oleh dasar patuh dan taat kepada arahan pimpinan yang menjadi amalan parti selama ini.

Bahkan katanya, kerjasama sebagaimana yang dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Seri Setia baru-baru ini akan terus dipertingkatkan kedua-dua parti terutamanya dalam perkara yang melibatkan kebaikan untuk rakyat.

“Majoriti orang Pas mengikut pemimpin. Yang baik kita kerjasama dan tidak baik, kita tidak bekerjasama.

“Buat masa ini tiada gabungan tetapi di masa akan datang kita tidak tahu kerana perancangan kita adalah untuk Islam berkuasa dan siapa yang boleh bagi jalan ke arah itu maka kita akan bersikap positif,” katanya kepada pembe­rita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Tautan kerjasama antara Pas dan UMNO semakin erat apabila pemimpin kanan kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu mengesahkan akan hadir dalam perhimpunan agung serta muktamar parti masing-masing yang berlangsung bulan ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, UMNO akan menjemput pemimpin Pas hadir dalam perhimpunan agung pada 29 dan 30 September ini manakala Pas juga akan melakukan perkara sama bagi Muktamar Tahunan parti itu di Terengganu bermula 14 September ini.

Terdahulu, Pas dan UMNO mencapai persetujuan bersama untuk bekerjasama bagi menewaskan Pakatan Harapan dalam PRK DUN Sungai Kandis dan Seri Setia.

Jalinan kerjasama itu berdasarkan status kesepakatan kedua-dua parti pembangkang terhadap janji-janji PH yang belum dilaksanakan.