Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, di peringkat negeri ini, hubungan dan kerjasama antara kedua-dua parti itu semakin mantap dengan matlamat utama adalah untuk

menyekat hasrat PH merampas negeri ini dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti telah diatur secara bersama sebelum ini dan perbincangan lain termasuk dalam soal pengagihan kerusi mungkin akan mula diperhalusi selepas ini.

“Kita menyambut baik kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bersama UMNO mengambil alih kuasa pentadbiran pada pilihan raya umum akan datang.

“Di peringkat negeri, kita akan terus memperkukuhkan kerjasama ini (Pas dan UMNO) dalam berhadapan dengan PH. Alhamdulilah, segala perancangan dalam kerjasama ini berjalan dengan lancar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini Mingguan Malaysia melaporkan, misi mengambil alih kuasa pentadbiran pada pilihan raya umum akan datang merupakan antara perundingan yang dibincangkan antara Pas dan UMNO dalam kerjasama yang dimeterai dua parti itu

Abdul Hadi dilaporkan berkata, rundingan menerusi pembentukan Piagam UMNO-Pas berkenaan turut dibuat dari sudut kawasan bertanding dan calon.

Dalam PRU-14, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 10 daripada daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum salah seorang wakil rakyat mereka mengumumkan keluar parti.

Pas pula menguasai dua kerusi masing-masing di DUN Guar Sanji dan Sanglang selebihnya dimenangi oleh PH iaitu di Indera Kayangan, Kuala Perlis serta Sena.

Di atas kertas jika Pas dan UMNO bergabung dalam menghadapi PRU-15, kedua-dua parti itu dijangka tidak menghadapi masalah untuk menyapu bersih kesemua 15 kerusi DUN termasuk tiga Parlimen di negeri ini.- UTUSAN ONLINE