Ahmad Samsuri berkata, adalah menjadi harapannya agar semua pimpinan dan ahli dapat terus istiqamah serta saling menyokong antara satu sama lain dalam menjayakan agenda dan misi yang telah digariskan.

Beliau yang merupakan Menteri Besar Terengganu turut mendoakan saf kepemimpinan kali ini agar dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik bagi memacu Pas Marang ke arah lebih cemerlang sekali gus merealisasikan hasrat pemimpin terdahulu untuk menjadikan kawasan itu sebagai model terbaik bukan sahaja di Terengganu malah, di Malaysia.

"Terima kasih di atas mandat dan kepercayaan seluruh perwakilan yang melantik saya sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Marang bagi sesi 2019-2021.

"Setinggi penghargaan ditujukan khas buat bekas Yang Dipertua, Yahaya Ali yang telah 10 tahun memegang amanah itu dengan baik, penuh dedikasi dan menjadikan Pas Marang sentiasa mara ke hadapan dengan keahlian lebih 23,000 orang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Samsuri menang tanpa bertanding dalam pemilihan sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Marang yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Marang di sini semalam.

Yang turut menang tanpa bertanding adalah jawatan Timbalan Yang Dipertua Pas yang kekal diterajui oleh Mohd. Nor Hamzah di samping Naib Yang Dipertua Pas kawasan itu, Ariffin Deraman.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, Pas Marang cukup istimewa kerana kawasan itu merupakan tempat berkembangnya pengajian kitab Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila yang diwarisi sejak zaman datuk Presiden Pas tersebut, maka seharusnya semua pihak bekerja dengan lebih kuat untuk meneruskan momentum yang dibina oleh pejuang terdahulu.

Di samping itu, katanya, semua pihak perlu berganding bahu untuk terus mengekalkan kemenangan Pas di Terengganu dan seterusnya memberi inspirasi kepada negeri lain dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang akan datang. - UTUSAN ONLINE