Kedua-dua ciapan itu atas tujuan sama, nak balas troll Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini berlaku pada akaun Twitter Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Cuma mulanya Najib ‘up’ sekeping saja tapi pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) balas dua. Mungkin yang pertama belum cukup umpphh, terpaksa buat dua kali selepas 11 jam. Mungkin banyak ilham selepas makan strawberi.

Dilihat pada komen-komen dalam kedua-dua ciapan tersebut nampaknya troll Ahli Parlimen Shah Alam itu kurang menjadi. Hajat nak sindir Najib tapi dah jadi senjata makan tuan.

Komen popular antaranya, ‘hambar’, ‘koyak’, ‘lawak sama jangan buat dua kali’ di samping tidak dinafikan ada juga segelintir yang memberi sokongan kepada Menteri Wilayah itu. Apabila Najib jawab ciapan kedua, setakat petang ini belum ada respons dari Khalid.

Apa pun, peperangan sindir menyindir di media sosial sudah jadi lumrah dalam politik atas nama demokrasi, bukan peribadi. Selepas ini selain penguasaan berucap, ahli politik kena juga pandai ‘troll’.

Jika tidak, daripada nak bahan lawan, nanti kena bahan balik kalau tak kena gaya. Ataupun kalau tak pandai troll di media sosial, lebih baik buat kerja saja. Biarlah pembangkang berkokok, sama macam sebelum berkuasa dulu. Itu lumrahnya sejak dulu.

Cuma dari satu sudut lebih serius, apakah status Twitter kedua Khalid tentang harapan ke Sungai Buloh cuma sindiran atau betul-betul satu bayangan? Khalid juga menggunakan ayat baju oren dan ini ditegur netizen kerana perbicaraan Najib masih berlangsung.

Ya, menunggu perbicaraan selesai akan memakan masa tetapi setakat ini bekas Perdana Menteri itu bebas berkempen kerana tidak dinafikan jaminan. Moleknya, tiada maksud serius daripada ciapan kedua Khalid itu, biarlah keputusan bicara menentukan.