Soal Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Shahar Abdullah, sepanjang lebih setahun PH memerintah, adakah keadaan dilihat bertambah baik dengan rakyat terbela seperti diwarkan-warkan sebelum ini.

Malah katanya, sepanjang tempoh itu, kerajaan PH terus bercelaru dan merosakkan benda baik yang dilaksanakan kerajaan terdahulu sehingga menyebabkan rakyat semakin tertekan.

“Hanya mereka tahu (kerajaan PH) ialah menjenamakan semula dasar-dasar kerajaan dahulu tetapi menjadikannya lebih teruk seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikurangkan dan banyak lagi yang dilihat tidak memberi kelebihan pada rakyat, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau di Hotel Putra Regency di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Abdul Azim Abdullah.

Sementara itu, Mohd. Shahar menyeru kepada para pemuda agar terus bekerja kuat membantu UMNO kembali merampas Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Meskipun angin perubahan menolak PH sudah mula dirasai namun jangan sesekali kita leka, sebaliknya kita harus bekerja kuat untuk memantapkan parti seterusnya mengembalikan semula keyakinan rakyat.

“Meskipun di atas kertas jika UMNO dan Pas bergabung kita boleh menang (PRU-15), namun jangan sesekali menjadi perkara itu untuk kita berasa selesa, sebaliknya perkara paling penting adalah mengukuhkan parti terlebih dahulu,” katanya.- UTUSAN ONLINE